Connect with us

Hi, what are you looking for?

FEATURES

“Brotherhood Ragbi Sebati Dalam Jiwa” Datuk Huzir

Beliau memilih sukan ragbi apabila namanya disenaraikan untuk mengikuti latihan pasukan sekolah

Melihat kelibat YDH CP Datuk Huzir Mohamed di kaca TV atau di dada akhbar pastinya membayangkan diri beliau seorang yang garang dan tegas bersesuaian dengan jawatan penting disandangnya sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Kalau ingat pasal ragbi ni, macam-macam kejadian suka duka telah saya lalui,” kata Datuk Huzir memulakan perbualan.

“Sejak zaman sekolah lagi saya terlibat dengan ragbi kerana sekolah saya (King Edward VII) antara sekolah terhebat pada zaman itu,” jelasnya.

Datuk Huzir bersama majalah Ragbi.MY edisi Julai 2020 menampilkan temubual eksklusif bersama beliau

Mengimbas zaman persekolahannya, Datuk Huzir memberitahu bahawa pada ketika itu bola sepak adalah sukan sangat popular di mana semua orang baik kanak-kanak mahupun dewasa memasang impian bermain untuk negara.

Walaupun demikian, beliau memilih sukan ragbi apabila namanya disenaraikan untuk mengikuti latihan pasukan sekolah.

“Pada masa tu asalkan badan tegap dan boleh berlari laju dah mencukupi syarat asas untuk bermain ragbi, selebihnya cikgu akan ajar teknik serta peraturan permainan,” katanya lagi.

Sekolah King Edward VII muncul selaku juara kebangsaan pada tahun 1978 dan 1979 manakala pada tahun 1980 mereka gagal mempertahankan gelaran itu.

“Saya dilantik sebagai kapten pada tahun 1980 dengan harapan mempertahankan kejuaraan untuk kali ketiga berturut-turut. Namun sebaliknya berlaku apabila pasukan MCKK ternyata lebih hebat berbanding kami dan lebih menyedihkan apabila sepakan saya sendiri tersasar daripada tiang lantas tidak dapat menambah mata pasukan,” jelas beliau sambil mengenang kejadian itu.

Kecemerlangan beliau dalam sukan ragbi dibuktikan apabila terpilih mewakili negeri Perak dalam beberapa kejohanan antaranya bawah-23 tahun serta National 7’s.

Selepas tamat persekolahan, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pengalaman serta mengembangkan bakat ragbi. Di sinilah beliau diambil bekerja dengan Maybank berdasarkan kebolehan serta prestasinya dalam sukan ragbi.

Selain bermain untuk pasukan majikannya Maybank, Datuk Huzir turut membarisi skuad Anchorman serta berpeluang mewakili kelab itu dalam kejohanan Hatyai 7’s.

Manakala untuk skuad kebangsaan, beliau telah menyarung jersi negara di kejohanan seperti bawah-23 tahun, ARFU pada tahun 1982 di Singapura, Hong Kong 7’s serta MRU Cup.

Mengikut jejak ahli keluarga yang lain, Datuk Huzir akhirnya menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas menimba pengalaman bersama Maybank.

Karier ragbi beliau diteruskan bersama Polis Bersatu yang meraih gelaran juara Piala Agong pada tahun 1985 selepas menewaskan Perak.

Antara yang membarisi skuad Sang Saka Biru ini ialah Dato’ Hamid mantan Timbalan Pengarah KDNKA, Dato’ Sri Ghafar Rajab mantan Pengarah Pengurusan, Dato’ Dino @ Sharifudin mantan Ketua Polis Pahang, Dato’ Rafique mantan Komander PGU serta lain-lain lagi.

Menceritakan kenangan dalam skuad negara, Datuk Huzir juga merupakan rakan sepasukan Rosly Abdul Majid atau lebih dikenali dengan nama Rod, Boon Hoon Chee, Lee Wen Bin, Tan Tai Fatt, Lim Chi Beng, Zakaria, Azizan Azmi (Pan), Fuad Takiman, Sunsu Bahar, Peter Kwa, Azmi Che Lam, Daud, Zulkifly Aziz, Ong Seng Chai, Roslan Siru, Wajidi, Wak Yassin, Capt. Rosli, Ghafar Rejab, Lim Say Tee, Rafique, Zainuddin Mohammad dan ramai lagi.

Bagi dirinya, ragbi telah membentuk semangat setiakawan atau ‘brotherhood’ yang tinggi di mana rakan-rakan sepasukan sangat akrab seperti keluarga sendiri dan hubungan itu berkekalan hingga ke hari ini.

Artikel ini telah disiarkan di dalam edisi Julai 2020. Untuk mendapatkan naskhah majalah edisi tersebut, klik di sini.

Click to comment

You must be logged in to post a comment Login

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

You May Also Like

Advertisement
0