Menjelang perlawanan pembukaan Guinness Six Nations yang dijadualkan 6 Februari nanti, agensi berita AFP melaporkan bahawa kejohanan itu bakal berhadapan situasi sukar apabila kes jangkitan semakin meningkat serta penemuan varian baru COVID-19 di United Kingdom.
Sabtu lepas, kerajaan Perancis telah menyarankan kelab-kelab ragbi di negara itu untuk membatalkan atau menangguhkan sebarang perlawanan melibatkan kelab atau pasukan domestik dari United Kingdom sebagai langkah mengekang penularan pandemik itu.
Sekatan perjalanan turut dikeluarkan oleh kerajaan Perancis bagi membendung penularan COVID-19 di negara tersebut.
Laporan awal penganjuran Six Nations oleh Ragbi.MY >>
Berikutan langkah itu, satu mesyuarat akan dipengerusikan oleh Menteri Sukan Perancis bagi membincangkan nasib kejohanan itu pada minggu depan.
Sementara itu, laman portal Rugbypass melaporkan bahawa Womens Six Nations sah ditangguhkan atas sebab ketidaktentuan situasi COVID-19 semasa.
Laporan tersebut antara lain menyebut penganjur tidak dapat melaksanakan perlawanan yang dijadualkan pada bulan Februari dan Mac nanti sebaliknya menjadualkan pada April dan Mei sebagai alternatif.
Pada ketika ini, hanya pasukan wanita England sahaja bermain secara profesional, manakala Perancis semi-profesional dan lain-lain negara (six nations) masih lagi amatur, menjadikan kesukaran untuk mengatur perlawanan serta penguatkuasaan sekatan keluar masuk antara negara Eropah menambah lagi kesulitan, menurut penganjur.
Walau bagaimanapun, jadual terkini akan diumumkan dalam minggu ini.
Dalam perkembangan berkaitan, situasi ragbi di negara ini juga bakal berdepan ketidaktentuan apabila Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan mengumumkan pelan terkini kerajaan dalam menghadapi COVID-19 pada jam 6.00 petang hari ini.
Laporan Berita Harian mengenai Perutusan Khas Perdana Menteri pada petang ini >>
Ikuti laporan mutakhir Ragbi.MY mengenai berita ragbi tempatan dan antarabangsa dibawakan secara eksklusif untuk anda peminat ragbi tanahair.
Related

You must be logged in to post a comment Login
You must log in to post a comment.