Kehangatan Piala Dunia Ragbi Wanita (RWC) 2021 semakin terasa apabila jenama bola ragbi Gilbert melancarkan reka bentuk bola rasmi yang akan digunakan sepanjang kejohanan berprestij itu.
RWC 2021 akan berlangsung pada 18 September hingga 16 Oktober 2021 menyaksikan New Zealand selaku tuan rumah untuk edisi ke-sembilan penganjurannya.
Sejak pertama kali dianjurkan pada tahun 1991, RWC 2021 turut mencipta sejarah sebagai kejohanan pertama berlangsung di hemisfera selatan.
Laman web gilbertrugby.com yang memaparkan reka bentuk bola rasmi itu turut membuka tempahan bagi peminat ragbi seluruh dunia untuk memiliki replika bola berkenaan. Manakala bola rasmi RWC 2021 akan mula berada di pasaran seawal bulan Mac 2021.
CEO Komersil Gilbert Rugby, Richard Gray dalam kenyataannya menyebut, kejohanan pada tahun 2021 bakal memberikan pengalaman bermakna buat semua khususnya dalam dunia ragbi dan Gilbert akan sentiasa memberi sokongan penuh, jelasnya.
Reka bentuk bola tersebut menggabungkan ciri-ciri warisan dan sejarah New Zealand dengan gabungan warna hijau, biru gelap dan hitam serta logo rasmi RWC 2021 yang mengambil konsep riporipo iaitu corak tradisi Maori.

Edisi 2017 menyaksikan the Black Ferns merangkul gelaran selepas menewaskan England 41-32 dan pastinya mereka akan mempertahankan kejuaraan tersebut di laman sendiri.
Untuk rekod, sembilan pasukan telah melayakkan diri ke RWC 2021 iaitu New Zealand, England, Perancis, USA, Kanada, Australia, Wales, Fiji dan Afrika Selatan.
Manakala tiga lagi pasukan akan ditentukan daripada Asia (1 pasukan), Eropah (1 pasukan) dan pemenang bagi Final Qualification Winner (1 pasukan).
Tahun 2021 menyaksikan dua kejohanan utama ragbi wanita iaitu RWC 2021 serta Olimpik Tokyo yang akan berlangsung pada 26 hingga 31 Julai dengan format 7 sepasukan.
Dapatkan berita dan perkembangan terkini dunia ragbi tempatan dan antarabangsa yang dibawakan khas untuk anda oleh Ragbi.MY. Langgan SEKARANG pada harga yang hebat, terdapat dalam versi majalah bercetak serta digital.

You must be logged in to post a comment Login