Connect with us

Hi, what are you looking for?

keluarga ragbi

FEATURES

BUDAYA RAGBI ERATKAN IKATAN KEKELUARGAAN

Dr. Rinalfi & Dr. Juliana terapkan budaya ragbi dalam kehidupan harian, beri sokongan terhadap minat anak-anak

Keunikan keluarga Dr. Tengku Rinalfi Putra menarik perhatian kami untuk meninjau dengan lebih dekat prinsip serta budaya ragbi yang diterapkan dalam kehidupan harian mereka.

Justeru satu pertemuan diatur bagi melihat serta mendalami falsafah keluarga ini yang begitu menitikberatkan disiplin di samping pendedahan terhadap ragbi sejak dari kecil lagi.

Kali pertama bertemu dengan keluarga Dr. Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan, ‘aura’ ragbi jelas terasa apabila anak-anak beliau, Radhi, Fay dan Riyadh sudah bersedia di atas padang berlari-larian membawa bola sambil memanaskan badan.

Ditemani isteri tercinta, Dr Juliana Jalil, keluarga ini kemudiannya membuat beberapa formasi taktikal di atas padang seolah-olah dalam persediaan menghadapi sebuah perlawanan sebenar.

Sebelum PKP dikuatkuasakan, keluarga Dr. Rinalfi kerap menghabiskan masa di hujung minggu dengan melakukan aktiviti ragbi bersama

Uniknya, ayah, ibu dan anak-anak mereka kesemuanya fokus sebagai satu pasukan di mana masing-masing mempunyai peranan dan tugas tersendiri, bersedia merobek kubu pertahanan lawan pada bila-bila masa.

Melihatkan kesungguhan dan gaya permainan mereka di atas padang, keluarga ini benar-benar menghayati falsafah ragbi iaitu Discipline, Respect, Integrity, Passion and Solidarity (DRIPS).

Memulakan perbualan, Dr. Rinalfi berkata, penglibatan beliau dalam sukan ragbi bermula sejak dari zaman persekolahan lagi dan diteruskan sewaktu melanjutkan pengajian di Christchurch, New Zealand.

“Berada di New Zealand, memberikan pendedahan dan peluang berguna buat kami sekeluarga khususnya untuk mendalami sukan paling popular di negara itu,” kata Dr. Rinalfi.

Beliau yang bermain untuk pasukan SMS Old Boys tidak melepaskan peluang berkecimpung dalam liga tempatan di Christchurch apabila mewakili University of Canterbury pada tahun 2008 hingga 2010.

Manakala bagi Dr. Juliana, berada di negara ‘syurga budaya ragbi’ menjadikan dirinya jatuh cinta kepada sukan tersebut.

Beliau yang juga peminat setia kelab Highlanders, nyata tidak kekok membuat hantaran dan menerima bola daripada anak-anaknya malah mampu membuat gerakan taktikal hasil latihan mereka sekeluarga selama ini.

“Selama menetap di New Zealand, anak-anak juga turut menerima pendedahan budaya ragbi dan nampaknya minat tersebut diteruskan sekembalinya ke Malaysia,” jelas Dr. Juliana lagi.

“Sebagai ibu bapa, saya dan isteri sentiasa menyokong anak-anak untuk meneruskan minat mereka dan memastikan pembahagian masa secukupnya dalam bidang akademik mahupun sukan dapat dilaksanakan,” kata Dr. Rinalfi.

Kecemerlangan akademik Radhi dan Fay terbukti apabila mereka diterima masuk ke Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) di Bandar Tun Razak Kuala Lumpur seiring dengan pencapaian ragbi sewaktu di sekolah rendah.

Manakala Riyadh yang masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(1) turut menanamkan impian untuk berjaya seperti abang dan kakaknya melanjutkan pengajian di sekolah berasrama penuh.

Dr. Rinalfi yang masih lagi aktif bersama SMS Old Boys Otai (veteran) menyimpan hasrat untuk melihat anak-anaknya berjaya dalam pelajaran dan mengaplikasikan disiplin dan kecekapan bermain ragbi dalam kehidupan seharian.

“Harapan saya ialah mereka dapat mengamalkan prinsip belajar untuk menang semasa menempuh kekalahan, semoga segala nilai-nilai dalam sukan ragbi dapat digunakan sepenuhnya untuk menjalani kehidupan di masa akan datang,” ujarnya di akhir perbualan.

*Temubual & sesi penggambaran dilaksanakan pada bulan Julai 2020

Ikuti kisah keluarga Dr. Rinalfi yang dibawakan secara eksklusif pada keluaran edisi ke-6 majalah Ragbi.MY
Ragbi.MY magazine
Muka hadapan majalah Ragbi.MY edisi #6 (2020)

Click to comment

You must be logged in to post a comment Login

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

You May Also Like

FEATURES

Majalah Ragbi.MY edisi 15 tampilkan pelbagai perkembangan terkini dunia ragbi tempatan dan antarabangsa

FEATURES

Majalah ragbi pertama di Malaysia kini memasuki edisi ke-10 dengan penampilan lebih menarik dan padat dengan pelbagai informasi. Muka depan kali ini membawakan seorang...

FEATURES

Pelbagai berita dan aksi tempatan dan antarabangsa dibawakan secara eksklusif oleh Ragbi.MY - Majalah ragbi pertama di Malaysia

NEWS

Ragbi.my majalah ragbi pertama di Malaysia kali ini tampil dengan segmen perbincangan khas dikenali Kopi-O Panas, sebuah rancangan berbentuk forum dengan tetamu undangan diwawancara...

Advertisement
0