Bagi penggiat ragbi khususnya di Lembah Kelang, kelab Buttercookies sememangnya tidak asing lagi bagi mereka yang aktif dalam liga serta kejohanan tempatan.
Ragbi.My berkesempatan bertemu dengan salah seorang pengasas Buttercookies, Hj. Mohammad Fauzi Hj. Othman yang berkongsi kisah sejarah penubuhan kelab tersebut kira-kira sedekad lalu.

Menurut Fauzi, Buttercookies mempunyai sejarah penubuhan yang panjang. Sebelum wujudnya kelab itu, kebanyakan pemain bermain bersama pasukan seperti SMS Old Boys sebelum menyertai BANTURA Orange.
“Selepas itu pemain menyertai Staroba Orange sehinggalah kelab Keris Conlay dan BiB Rama-rama ditubuhkan pada tahun 2010,” jelas Fauzi.

“Namun detik-detik penubuhan Buttercookies lebih menjurus kepada penganjuran kejohanan 10 sebelah oleh Royal Selangor Club (RSC) yang mewujudkan kategori veteran iaitu pemain berusia 35 tahun ke atas atau berat 100 kg ke atas,” ujarnya lagi mengimbas kisah tersebut.
Bermula dari situ, Buttercookies ditubuhkan dengan mengumpulkan semula rakan-rakan seperjuangan yang pernah bermain bersama satu masa dahulu.
“Melalui Buttercookies, pemain- pemain mula dikumpulkan dan kami mula bermain bersama kembali pada pertandingan seperti Jonah Jones 2010 dalam kategori veteran,” katanya lagi.
Bukanlah kemenangan yang kami cari cuma inilah salah satu peluang untuk kami dapat bertemu kembali setelah sekian lama berkecimpung dalam sukan ragbi, ujar Fauzi lagi.
Menurutnya, Buttercookies kini dianggotai oleh seramai 60 ahli yang rata-ratanya pernah bermain untuk SMS Old Boys, Bantura Orange, Staroba Orange, Keris Conlay dan BiB Rama-rama serta rakan-rakan daripada pasukan lain.

Kelab yang berpangkalan di Kuala Lumpur ini bagaimanapun mencatatkan beberapa kejayaan cemerlang dalam beberapa kejohanan disertai sebelum ini.

Antara kejayaan mereka termasuklah Naib Johan Plate di SAJOHA 10’s 2019 (40 tahun ke atas), naib johan Plate di Kejohanan PDRM Masters Camaraderie Invitation 2019 (45 tahun ke atas) serta johan di Mersing Monsoon Cup 2018 (40 tahun ke atas).
Artikel ini telah disiarkan di dalam majalah Ragbi.MY edisi Julai 2020. Dapatkan majalah edisi Julai di sini.
You must be logged in to post a comment Login