Connect with us

Hi, what are you looking for?

Coco inspirasi anak muda
Pengalaman dan kecemerlangan Coco dalam arena ragbi jadi inspirasi generasi muda untuk terus berjaya

FEATURES

COCO KONGSI PENGALAMAN BENTUK PELAPIS RAGBI NEGARA

Keazaman, fokus & semangat waja kunci kecemerlangan dalam sukan ragbi

Nama Roestam Effendi Sijar atau lebih dikenali ‘Coco’ sewajarnya dijadikan inspirasi bagi generasi muda yang ingin bergiat secara serius dalam sukan ragbi pada ketika ini.

Beliau mempunyai pengalaman pahit manis selama lebih 30 tahun penglibatan dalam arena ragbi yang telah membawa dirinya ke serata pelusuk dunia.

Salah seorang pelajar kebanggaan Sekolah Tuanku Jaafar (STJ), Coco menuntut di sekolah tersebut dari tahun 1986 hingga ke tahun 1990 sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1991.

Di UPM, kemahiran serta pengalamannya semakin berkembang melalui pelbagai program serta kejohanan yang disertai sama ada di peringkat universiti mahupun kebangsaan.

Mengimbas penglibatan Coco dalam arena ragbi tanahair, beliau mewakili Negeri Sembilan dalam temasya SUKMA pada tahun 1992 di Johor, 1994 di Perak serta 1996 di Pahang.

Kejayaan pasukan Negeri Sembilan pada kejohanan National 7’s 1996

Beliau juga beraksi cemerlang hingga membawa pasukan Negeri Sembilan menjulang kejuaraan di Kejohanan National 7’s pada tahun 1996.

Di peringkat antarabangsa, Roestam menyarung jersi kebangsaan dalam skuad bawah 21 serta 23 tahun melibatkan beberapa kejohanan di Kuala Lumpur serta Singapura.

Kepantasan yang dimiliki Coco menjadi pilihan pengurusan pasukan negara untuk memilih beliau dalam pasukan ‘Pilihan Malaysia’ bertemu Argentina dan Hong Kong Development Team 1995.

Manakala pada tahun 1996, Coco turut beraksi untuk negara dalam World Cup Qualifier 7’s di Arab Saudi, Jepun dan England.

Dengan pencapaian akademik yang cemerlang serta prestasi unggul ditunjukkan dalam skuad negara, Coco meraih gelaran Olahragawan UPM bagi sesi 1996/97, satu kejayaan manis yang tidak dapat dilupakan beliau.

Keratan akhbar Harian Metro 3 Mei 1997

Berbekalkan prestasi cemerlang dalam skuad remaja negara, Coco juga diserapkan di dalam skuad Jaya 98 bagi menghadapi temasya Sukan Komanwel pada tahun 1998.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi dirinya kerana terpaksa menarik diri daripada skuad negara atas sebab kecederaan lutut yang dialami.

“Saya telah cuba berusaha pelbagai cara untuk pulih seperti biasa namun rezeki tidak memihak untuk saya turun beraksi di Sukan Komanwel 1998,” katanya kepada Ragbi.My.

“Sekarang ini bila saya dengar lagu ‘Standing In The Eyes of The World’ memang meremang bulu roma saya sebab tengiang-ngiang lagu tema temasya Sukom 98 nyanyian Ella ini. Jika tidak mengalami kecederaan, pastinya saya akan dapat membarisi skuad negara ketika itu,” ujarnya.

Namun bagi Roestam, keadaan itu adalah sebahagian daripada asam garam sebagai seorang pemain ragbi.

Kekecewaan tidak dapat beraksi di pentas Sukom 98 ditinggalkan, Coco tidak sesekali mengalah dengan dunia ragbi yang amat diminatinya malahan beliau mula mencari alternatif lain dengan menyumbangkan ilmu, pengalaman dan kemahiran dengan menjadi jurulatih.

Coco kemudiannya berkhidmat sebagai jurulatih skuad Negeri Sembilan dalam kempen SUKMA tahun 2000 di Pulau Pinang dan berjaya membawa pulang pingat gangsa.

Kini, Roestam memegang jawatan selaku Timbalan Pengarah di Pusat Pembangunan Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Idea serta peranan Roestam dalam pembangunan sukan IPT begitu signifikan melalui lantikan beliau sebagai Ahli Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) sejak 2013 hingga kini.

Manakala peranan di peringkat ASEAN, beliau diamanahkan sebagai Setiausaha Agung Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC) pada tahun 2019 serta bagi penggal 2020-2023.

Bagi Coco, kecintaan kepada ragbi sangat menebal dalam dirinya. Selagi pengalaman dan kepakarannya diperlukan, selagi itulah beliau akan terus menabur bakti bagi melahirkan generasi ragbi yang cemerlang dari sudut akademik, sahsiah serta berkemahiran tinggi.

IKUTI PELBAGAI KISAH MENARIK DITAMPILKAN PADA EDISI APRIL RAGBI.MY
Edisi 15 Ragbi.MY lebih padat dengan pelbagai perkembangan terkini dunia ragbi tempatan & antarabangsa

Click to comment

You must be logged in to post a comment Login

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

You May Also Like

Advertisement
0