Eagles Rugby Club (ERC) mengambil inisiatif menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk sekitar Sandakan yang terjejas berikutan penularan gelombang ketiga pandemik Covid-19.
Pengurus Besar ERC, Raimi Yusof ketika dihubungi Ragbi.MY berkata, program tersebut telah berlangsung selama sembilan minggu dengan tujuan utamanya membekalkan barangan keperluan asas kepada keluarga yang sangat terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Program yang dinamakan #rugbycares mendapat perhatian komuniti ragbi serta dermawan yang menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan untuk disalurkan kepada golongan sasar,” jelas Raimi.

Menurutnya lagi, setiap minggu pihaknya berjaya mengumpulkan bekalan makanan asas yang mencukupi untuk 40 hingga 60 buah keluarga.
Barangan keperluan seperti beras, gula, mee segera, minyak masak, tepung gandum, sardin, susu tepung bayi, susu tin serta beberapa bahan asas lain dijadikan kit bantuan dan diedarkan kepada keluarga yang memerlukan.

“Kesemua sumbangan yang dikumpulkan kemudiannya dihantar ke lokasi oleh pasukan petugas dan sukarelawan ERC yang sentiasa komited dalam melaksanakan misi kemanusiaan ini,” tambah Raimi lagi.

“Melalui kempen #rugbycares, kami sangat mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan kerana saban hari kami menerima banyak permohonan bantuan daripada penduduk yang terjejas teruk seperti hilang pekerjaan dan sumber pendapatan,” ujar Raimi.

“Bagi pihak ERC, kami sangat berterima kasih kepada semua dermawan dan sokongan rakan-rakan komuniti ragbi yang sentiasa menyokong usaha murni ini,”
“Meskipun sukan ragbi terhenti seketika, tidak bermakna kita tidak boleh melakukan apa-apa dan program sebegini seharusnya dijadikan keutamaan dalam membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya lagi.
You must be logged in to post a comment Login