Selepas menyaksikan kejayaan misi penghantaran bantuan persekolahan kepada sekolah-sekolah di Hulu Perak, gabungan alumni serta komuniti ragbi tanahair akan meneruskan program berikutnya pada 6 dan 7 Mac depan.
Perkara tersebut disahkan oleh Pengarah Program, Dr. Helmee Effendee yang dihubungi Ragbi.MY bagi mendapatkan perkembangan terkini inisiatif tersebut.
Menurut Dr. Helmee, pada 14 hingga 16 Februari lalu, satu misi penghantaran bantuan persekolahan telah dilaksanakan melibatkan sekolah-sekolah di sekitar Gerik dan Lenggong.

Pada program itu, buat julung kalinya gabungan alumni terdiri daripada Kelab Ragbi SMS Old Boys, Persatuan Alumni Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS), Old Putra Association (OPA), Filantropi Fakir Gelandangan (FFG), Kelab Sukan & Rekreasi Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Lembaga Jurukur Tanah Malaysia serta penggiat ragbi berkolaborasi menyampaikan sumbangan peralatan serta barangan keperluan kepada sekolah serta anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan.

Jelas Dr. Helmee, pada ketika semua guru dan pelajar melaksanakan kelas secara atas talian, terdapat segelintir pelajar di kawasan pedalaman mengalami kesukaran mengikuti sesi pembelajaran seperti itu.
“Ini kerana kekangan dari segi liputan internet, serta kekurangan yang sangat ketara dari segi pemilikan peranti seperti telefon pintar, tablet dan komputer menjadikan sesi pembelajaran anak-anak di kawasan pedalaman sememangnya terjejas,” katanya.
Justeru, sekolah-sekolah di kawasan pedalaman mengambil langkah dengan menyediakan bahan-bahan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) secara bercetak dan diedarkan kepada murid-murid di rumah masing-masing.
Berikutan itu, gabungan alumni dan komuniti ragbi menubuhkan satu tabung bagi membeli barangan keperluan dan peralatan untuk disumbangkan kepada sekolah-sekolah di pedalaman daerah itu.
PENUBUHAN MALROSE SEBAGAI PLATFORM UTAMA AKTIVITI KESUKARELAWANAN
“Hasil daripada maklumbalas diterima, sebenarnya banyak pihak terdiri rakan-rakan alumni sangat berminat menyertai inisiatif sebegini,” kata Dr. Helmee.
Jelasnya lagi, setelah berbincang dengan semua pihak yang berminat, akhirnya satu badan dikenali sebagai MALAYSIAN RUGBY OLDBOYS FOR SOCIAL EMPOWERMENT (MALROSE) ditubuhkan sebagai platform kesukarelawanan bagi komuniti ragbi di negara ini.

Untuk misi berikutnya, MALROSE dengan sokongan komuniti ragbi tanahair sedang mengumpulkan barangan keperluan harian serta peralatan seperti set komputer, pengimbas suhu, alat tulis dan lain-lain bagi menghadapi pembukaan semula sekolah pada bulan Mac nanti.

“Pada ketika ini rakan-rakan alumni seperti SMS Old Boys, ASAS, OPA, STJ HOW, ALSPEN, SAINA Old Boys serta komuniti ragbi di Negeri Sembilan seperti Cikgu Zain (KGV) serta ramai lagi telah melibatkan diri dalam misi bantuan ini,” ujar Dr. Helmee.
Hasil hebahan melalui media sosial, MALROSE kini mendapat perhatian daripada rakan-rakan alumni lain serta badan-badan korporat untuk sama-sama berganding bahu menjayakan inisiatif tersebut.
Justeru, Dr. Helmee mempelawa semua pihak yang berminat menghulurkan bantuan peralatan kepada sekolah-sekolah di Gerik, Perak untuk menghubunginya di talian 019-332 7166.
Ragbi.MY selaku rakan media MALROSE akan sentiasa membawakan perkembangan terkini Misi Bantuan Persekolahan ke Gerik dari masa ke semasa.
Miliki edisi terkini majalah Ragbi.MY menampilkan Cikgu Zain (KGV) dalam satu temubual eksklusif bersama ikon ragbi sekolah-sekolah di Negri Sembilan.

You must be logged in to post a comment Login