Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ke-3 jelas memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia. Bagi atlet sukan, pastinya aktiviti latihan menjadi terbatas namun kreativiti mereka mencari alternatif untuk kekalkan kecergasan seharusnya dipuji.
Ragbi.my berpeluang menemubual pemain ragbi negara, Anwarul Hafiz Ahmad atau nama panggilannya Goncang, untuk meninjau aktiviti harian dan tips untuk mengekalkan stamina sepanjang PKP.
Menurut Goncang, tidak banyak aktiviti dapat dilakukan sepanjang tempoh PKP namun bagi beliau kesempatan ini digunakan sepenuhnya untuk memperbaiki kemahiran dirinya.
“Kalau dulu awal pagi saya dah mula buat workout atau jogging, tapi kini semuanya berubah,” jelas Goncang.
“Saya akan gunakan masa pada waktu pagi untuk membuat sedikit penyelidikan dan rujukan bagi tujuan pembelajaran,” katanya yang kini di semester akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan di UiTM Shah Alam.
Masa terluang turut digunakan dengan menonton drama serta filem Korea kegemarannya di samping memasak.
Namun, sebelah petang akan dikhususkan untuk sesi kecergasan sehingga jam 7.00 malam, katanya lagi.
Goncang turut berkongsi beberapa video aktiviti beliau sebagai panduan kepada mereka yang ingin melakukan workout di rumah.
Antara tips beliau ialah, buat senaman/ aktiviti secara konsisten, jangan terlalu memaksa diri, buat dalam keadaan tenang dan paling penting minum air yang cukup dan amalkan kebersihan diri.
Ditanya apakah menu kepakaran beliau dalam bidang masakan, Goncang hanya menjawab, ayam goreng!
Pesanan Goncang kepada seluruh komuniti ragbi di Malaysia, kekal berada di rumah dan patuhi arahan PKP. Sama-sama berdoa agar pandemik yang melanda dunia segera berakhir dan kita sama-sama kembali bermain di padang seperti biasa.
You must be logged in to post a comment Login