Kejayaan pasukan ragbi negara pada ketika ini adalah legasi pengorbanan wira-wira yang tidak pernah didendang. Kali ini Ragbi.MY membawakan Idris Che Long, antara pemain lagenda yang sentiasa menyokong pembangunan ragbi meskipun telah bersara daripada sukan itu.
Lahir di Alor Setar, Idris berkongsi pembabitannya dalam sukan ragbi yang bermula ketika berada di tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman (STAR) Kedah.
“Mulanya saya bermain bola sepak tetapi apabila hujan, kami tidak dapat berlatih. Tetapi satu hari, cikgu sekolah mengajak kami bermain ragbi, sejak itulah, saya mula berminat untuk bermain ragbi.

“Allahyarham Cikgu Azizan merupakan jurulatih negeri Kedah ketika itu telah menggilap bakat saya dan pemain lain sehinggalah kami berjaya mewakili pasukan sekolah dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSSS) sehingga ke peringkat seterusnya,” katanya.
Bermain untuk negara, Idris pernah beraksi di dalam skuad bawah 23 tahun pada tahun 1983, 1985 dan 1987, manakala untuk kejohanan King’s Cup (Thailand) beliau menyarung jersi kebangsaan pada tahun 1995 hingga 1999.

Salah satu kenangan paling diingati beliau ialah sewaktu perlawanan menentang pasukan Armed Forces pada tahun 1989.
“Saya masih ingat perlawanan itu disaksikan oleh tunang saya (kini isteri) yang terkejut melihat keadaan saya dijahit terus oleh pegawai perubatan sebanyak tujuh jahitan dan saya masih meneruskan permainan seperti biasa”
Idris Che Long
“Itu antara kenangan pahit manis jika dikenang kembali, kerana semangat juang untuk bertarung habis-habisan demi nama kelab atau saudara dalam pasukan,” katanya yang menggalas tanggungjawab sebagai ‘hooker’ dan ‘fly half’.
“Nasihat saya kepada anak muda yang ingin berkecimpung dalam sukan ini, bermain bukan hanya untuk bermain sebaliknya apabila bergelar pemain ragbi, berjuanglah habis-habisan dan berilah komitmen tidak hanya sekadar pemain tetapi bertanggungjawab daripada kemahiran latihan asas, ilmu ragbi dan keselamatan asas,” pesan Idris.
Selain bermain di posisi hooker dan flyhalf, Idris yang bersara pada tahun 2006 juga adalah ‘kicker’ utama dan juga pernah bermain untuk Maybank Tigers dan Cobra pada tahun 90-an.
Artikel ini telah disiarkan dalam edisi Ogos 2020.
Klik di sini untuk mendapatkan majalah Ragbi.MY edisi Ogos 2020 >>

You must be logged in to post a comment Login