Ketika kita berada di penghujung tahun 2020, Ragbi.MY mengimbas kembali antara peristiwa penting yang berlaku dalam dunia ragbi tanahair.
Berikutan penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, pelbagai organisasi dan pertubuhan sukan mula mengambil keputusan drastik dengan menangguhkan penganjuran acara sukan.
Asia Rugby merupakan antara badan terawal mengumumkan langkah berwaspada apabila mengumumkan penangguhan kejohanan ragbi bermula 1 Mac sehingga 30 Jun 2020.
Dalam satu kenyataan media yang disiarkan oleh Asia Rugby di laman web badan itu, memetik Presiden Asia Rugby, Qais Al-Dhalai sebagai berkata, “Kesihatan dan keselamatan pemain, peminat dan kesemua petugas yang terlibat dalam penganjuran acara sentiasa menjadi keutamaan Asia Rugby,” jelasnya.

Justeru, beliau bersandarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan badan berkaitan lain mengambil keputusan tersebut sebagai langkah melindungi komuniti Asia Rugby.
Manakala di Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan penangguhan semua acara melibatkan sukan dan belia sama ada melalui penganjuran kementerian dan agensi di bawahnya berkuatkuasa 13 Mac sehingga 30 April 2020.
Berikutan pengumuman tersebut, beberapa kejohanan ragbi tempatan yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mac dan April terpaksa ditangguhkan ke satu masa yang akan diumumkan kelak.
Antara kejohanan terjejas akibat COVID-19 ialah Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), SDARA Brotherhood 10’s Veteran, Kejohanan Pra-SUKMA Wanita, Liga Kesatuan Ragbi Selangor (KRS), Malaysia Super Schools, Perlis Royal 7’s serta Liga Super Johor.
Ragbi.my menghubungi Setiausaha Kehormat Persatuan Ragbi Perlis, Erri Hardinata Ahmad Khodzali yang mengesahkan penangguhan Perlis Royal 7’s yang dijadualkan berlangsung pada 18 & 19 April nanti ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Untuk rekod, Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada 18 Mac 2020.
Dalam perkembangan berkaitan, Alumni SDARA Lions turut memaklumkan penangguhan Kejohanan Ragbi Brotherhood 10’s Veteran pada 21 Mac di Padang Ragbi UNITEN.
You must be logged in to post a comment Login