Pemain ragbi negara, Siddiq Amir Jalil dengan sokongan rakan-rakan dan penggiat sukan berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM9,104 dalam satu inisiatif dinamakan #fightforkumin baru-baru ini.
Inisiatif #fighforkumin digerakkan oleh Siddiq dan rakan-rakan seperjuangan beliau dalam sukan ragbi bagi menyalurkan bantuan kepada Izzat Haziq Baharuddin atau lebih dikenali dengan nama Kumin yang terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira lima tahun lalu.
SEMBANG KOPI-O PANAS TINJAU PERKEMBANGAN TERKINI KUMIN
Dalam rancangan Sembang Kopi-O Panas Ragbi.MY pada Rabu lepas, Siddiq menjadi tetamu program itu bersama Dr. Muhammad Hazwan Khair (Doktor pasukan 15’s kebangsaan) dan ayah Kumin, Baharuddin Mohamed.

Segmen bual bicara yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Ragbi.MY meninjau perkembangan terkini Kumin yang dikongsikan oleh ayahnya, manakala Dr. Hazwan menerangkan proses serta keperluan rawatan fisioterapi untuk Kumin.
Menurut Siddiq, idea mewujudkan inisiatif #fightforkumin bermula sewaktu beliau ingin melepaskan koleksi jersi dan pakaian miliknya.
“Daripada saya jual begitu sahaja, ada baiknya kalau saya buat jualan amal dan salurkan kepada sahabat sepasukan saya Kumin yang pada ketika ini perlukan rawatan fisioterapi,” kata Siddiq sewaktu ditemubual.
“Selepas saya membuat posting di media sosial dan berbincang dengan rakan-rakan lain, akhirnya inisiatif #fightforkumin dilancarkan dalam kalangan penggiat sukan ragbi bagi meraih dana untuk Kumin,” katanya lagi.
“Alhamdulillah, koleksi jersi serta pakaian sukan koleksi peribadi saya mendapat sambutan sangat menggalakkan dan sebenarnya ramai yang ingin menderma dan bukan sekadar membeli jersi semata-mata,” jelas Siddiq.
Kemas kemas semalam dapat lah kumpul sekotak baju kontinjen and jersey jersey sepanjang bermain ragbi utk pasukan 7s…
Posted by Siddiq Jalil on Saturday, February 6, 2021
BIDAAN AMAL KOLEKSI JERSI KUMPUL DANA KUMIN
Buat pertama kali dalam sejarah Sembang Kopi-O Panas, sesi bidaan amal dijalankan dengan koleksi jersi dan sweater milik Siddiq dan beberapa rakan lain ditawarkan kepada penonton rancangan tersebut.
Siddiq membuat jualan amal sweater pasukan Malaysia miliknya sewaktu Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur menyaksikan skuad 7’s negara merangkul emas.

Selain sweater, jersi negara yang dipakai sewaktu perlawanan antarabangsa di Singapura turut dijual selain beberapa helai jersi lain yang mendapat sambutan hangat daripada penonton.


DR HAZWAN SUMBANG KOLEKSI PERIBADI
Sebagai tetamu pada malam tersebut, Dr. Hazwan turut ‘melepaskan’ dua helai jersi koleksi peribadi beliau bagi mengumpul dana untuk Kumin.
Sehelai jersi jenama Adidas kelab ragbi Harlequin dan jersi pasukan Great Britain di Olimpik Rio 2016 disumbangkan oleh Dr. Hazwan untuk dibida penggiat sukan ragbi yang menyokong inisiatif #fightforkumin.


CARISBROOK TAMPIL BERI SOKONGAN BIDAAN AMAL
Sepanjang siaran langsung tersebut, beberapa kejutan telah berlaku dengan penglibatan pelbagai pihak yang menunjukkan sokongan kepada inisiatif #fightforkumin.
Pengeluar jenama pakaian ragbi, Carisbrook turut menyumbang dua helai jersi ‘player issue’ skuad bawah 20 tahun untuk dibida.


KEJUTAN DEMI KEJUTAN UNTUK KUMIN
Di samping bidaan amal koleksi jersi dan sweater, keluarga Kumin yang turut mengikuti siaran langsung itu turut menerima beberapa berita gembira daripada komuniti ragbi.
Pertama, klinik fisioterapi Physio Doc MY mengumumkan rawatan di rumah PERCUMA untuk Kumin selama sebulan sebagai sokongan kepada inisatif #fightforkumin.
Kedua, Bunga Raya Old Boys (BROB) mengumumkan sumbangan sebanyak RM 200 untuk dana rawatan Kumin yang diumumkan oleh wakil pasukan itu sewaktu bual bicara berlangsung.
Seterusnya, Siddiq juga berjaya mengumpul sejumlah sumbangan daripada rakan-rakan serta penggiat ragbi yang lain meskipun tidak menyertai bidaan pada malam tersebut.
MALAYSIA RUGBY SUMBANG DANA RM1,000
Buat julung kalinya, Presiden MR, Datuk Shahrul Zaman Yahya turut meluangkan masa mengikuti segmen bidaan amal tersebut.
Datuk Shahrul kemudiannya memenangi bidaan bernilai RM300 untuk sehelai jersi Malaysia B-20 Carisbrook. Jersi tersebut kemudiannya dihadiahkan kepada Kumin oleh Datuk Shahrul.
Ketika sesi bidaan semakin hangat, Datuk Shahrul kemudian mengumumkan sumbangan bernilai RM1,000 daripada Malaysia Rugby yang kemudiannya mendapat sokongan padu daripada penonton Sembang Kopi-O Panas.
HASIL KUTIPAN BIDAAN AMAL SUNGGUH MEMERANJATKAN
Di akhir segmen, kesemua item yang ditawarkan berjaya dibida oleh rakan-rakan komuniti ragbi yang menyatakan sokongan kepada inisiatif dibawakan oleh Siddiq.
Hasil bidaan dan sumbangan amal pada akhir rancangan tersebut merekodkan nilai RM2,670; satu jumlah yang tidak diduga oleh kesemua panel jemputan pada malam itu.
Ayah Kumin, dalam reaksinya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh dermawan yang begitu mengambil berat terhadap keadaan anaknya itu.
Namun, bagi Siddiq pula, jumlah jualan amal tersebut dicampurkan dengan kutipan semasa menjadikan nilai keseluruhan sumbangan sebanyak RM9,104.
“Selagi saya masih hidup, saya akan sentiasa memperjuangkan nasib Kumin kerana nilai persahabatan kami melebihi segala-galanya”
Siddiq Amir Jalil
Dalam pada itu, inisiatif #fightforkumin telah menarik perhatian pelbagai pihak untuk sama-sama menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk buat Kumin.
TONTON LAPORAN ASTRO ARENA MENGENAI INISIATIF #FIGHTFORKUMIN
Daripada seluruh warga kerja Ragbi.MY, kami sentiasa memberi sokongan terhadap proses pemulihan Kumin dan didoakan agar segala urusan dipermudahkan dan diberi kesembuhan segera.
You must be logged in to post a comment Login