Connect with us

Hi, what are you looking for?

Komuniti ragbi dirayu bantu Doc Malan
Doc Malan perlukan sokongan semua pihak/Foto: Facebook

NEWS

Komuniti Ragbi Diseru Bantu Doc Malan

Pada 7 Januari lalu, komuniti ragbi tanahair dikejutkan dengan berita Prof. Madya Dr. Mazlan Ismail atau lebih dikenali Doc Malan diserang stroke ketika berada di rumahnya.

Selepas menjalani pembedahan, Doc Malan masih lagi berada di wad ICU dan dijangkakan berada di dalam pengawasan rapi sekurang-kurangnya dua minggu lagi berdasarkan keadaannya sekarang.

Portal online New Straits Times dalam laporannya menyebut, isteri Doc Malan, Azlina Ariff memberitahu bahawa keadaan suaminya ketika ini menunjukkan sedikit perubahan positif namun perkembangannya masih perlahan.

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Lee Nyuk Fah baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Azlina bersama Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed bagi mengetahui perkembangan terkini Doc Malan.

Azlina sewaktu pertemuan dengan Nyuk Fah dan Datuk Noorul
Lee Nyuk Fah (kanan) sewaktu pertemuan bersama Azlina dan Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin (kiri)/
Foto: KRM

Difahamkan, sejak menjalani pembedahan dan rawatan ke hari ini serta anggaran untuk dua minggu lagi, sejumlah RM140,000 diperlukan untuk membiayai kos terlibat.

Daripada jumlah itu, RM100,000 telah ditanggung oleh insurans majikan Doc Malan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), manakala RM23,000 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan ahli keluarga, rakan-rakan, staf serta komuniti ragbi UiTM dan kelab COBRA yang banyak membantu.

Anggaran kos sebanyak RM27,000 masih lagi diperlukan untuk membiayai rawatan beliau di hospital.

Menurut Nyuk Fah, anggaran kos sebenar masih belum meliputi peralatan, rawatan fisioterapi serta perubatan tambahan pada tempoh berikutnya.

“Justeru, KRM sangat berharap YAKEB dapat memberi perhatian dan bantuan sewajarnya memandangkan Doc Malan bukan sahaja pernah mewakili negara, malah memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan di Malaysia sebagai ahli psikologi sukan serta tenaga pengajar dalam pelbagai bidang sukan,” jelas Nyuk Fah.

Dalam pada itu, UiTM Lions turut membuat kutipan dana khas untuk disalurkan kepada keluarga Doc Malan di samping beberapa inisiatif daripada komuniti ragbi bagi meringankan beban keluarganya.

Sebarang bentuk sumbangan boleh disalurkan ke akaun 10650605800 (Hong Leong Bank) atas nama Azlina binti Mohd Ariff.

Ragbi.MY dengan ini merayu seluruh komuniti ragbi tanahair untuk menghulurkan bantuan dan sokongan kepada keluarga Doc Malan pada waktu sukar ini dan sama-sama berdoa agar segala urusannya dipermudahkan dan diberi kesembuhan segera.

Kami juga akan sentiasa membawakan perkembangan terkini Doc Malan serta makluman berkaitan penyaluran sumbangan kepada keluarga beliau.

Click to comment

You must be logged in to post a comment Login

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

You May Also Like

Advertisement
0