RM2 juta ialah dana diperlukan oleh Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bagi merealisasikan penyertaan dan penganjuran Kejohanan Ragbi Asia (ARC) tahun ini.
Memetik laporan BERNAMA, KRM merayu sumbangan kewangan daripada mana-mana pihak bagi membolehkan pasukan 15’s negara menyertai perlawanan di peringkat antarabangsa.
Presiden KRM Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya RM2 juta bagi membolehkan pasukan tersebut menyertai ARC 2021 yang mungkin berlangsung pada Mei atau Jun depan.
Katanya, kejohanan itu sepatutnya berlangsung tahun lalu, namun ditunda ke tahun ini disebabkan penularan wabak COVID-19.
Bacaan berkaitan: KRM umum jadual pertandingan 2021 >>
Mengikut perancangan, pasukan negara dijadual menentang Hong Kong dan Korea dalam aksi timbal balik.
“RM2 juta itu bukan untuk pergi sahaja, tapi untuk melayan kunjungan Hong Kong dan Korea selain mempersiapkan pasukan selama enam bulan.
“Tapi ini pun dah lambat kerana sepatutnya kem latihan bermula Januari, kini ditangguhkan ke Februari sebab Perintah Kawalan Pergerakan.
“Cabaran terbesar sekarang ialah pembiayaan. Tahun lepas dua penaja utama kami telah batalkan hasrat kerana situasi pandemik COVID-19. Pada masa ini, pasukan berdepan belanjawan sifar tapi kami masih berusaha lagi mencari (tajaan),” katanya kepada BERNAMA.
Menurut Shahrul Zaman, ketika ini skuad ragbi negara berada di ranking ke-49 dunia dan ke-5 di Asia, jauh di belakang Hong Kong serta Korea.
Maka platform terbaik termasuk mengadakan perlawanan ujian bagi membantu merapatkan jurang tersebut.
“Kepada badan korporat di luar sana, sumbangan anda akan mendapat pengecualian cukai.
“Tolong realisasikan impian mereka, kami mahu bersaing dalam Piala Dunia Ragbi 2031. Ada yang mengatakan mustahil. Ia satu proses, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu berusaha sebaik mungkin,” katanya.
Dapatkan koleksi majalah Ragbi.MY sepanjang tahun 2020 di sini >>

You must be logged in to post a comment Login