Pemain negara kesayangan ramai, Lawrence Petrus yang beraksi cemerlang dengan University of Western Australia (UWA RC) pada musim 2020 mengumumkan penghijrahan ke kelab baru di Sydney.
Lawrence memberitahu Ragbi.MY, beliau akan menyertai pasukan barunya, Manly RUFC (Manly Marlins) yang beraksi dalam saingan Shute Shield di New South Wales, Australia.

Manly Marlins berminat untuk mendapatkan khidmat pemain prop itu bagi musim 2021, selepas menyaksikan prestasi cemerlang membantu UWA RC menjulang Kejuaraan Divisyen musim lalu.
Manly Marlins pernah diwakili oleh beberapa pemain ternama antaranya Michael Hooper, Reece Hodge, George Smith, Wycliff Palu dan Beaudein Waaka.
Ragbi.MY menghubungi pengurus peribadi Lawrence, Khairul Syazwan Azahar untuk mendapatkan reaksi beliau.
Kata Khairul, penerimaan Manly Marlins merupakan peluang yang cukup besar buat pemain itu untuk melangkah lebih jauh dalam sukan ragbi.
“Beliau telah membuktikannya ketika di UWA RC, dan peluang untuk beraksi bersama Manly Marlins bakal memberikan pengalaman istimewa untuk membina karier profesional di peringkat antarabangsa,” jelas Khairul.
Manakala bagi Lawrence, persaingan sengit sememangnya dijangkakan kerana ramai pemain berpengalaman luas merebut posisi utama dalam pasukan.
Musim lalu Lawrence juga tersenarai sebagai 15 pemain terbaik untuk saingan RugbyWA FMG Premier Grade 2020.
You must be logged in to post a comment Login