Lions Tour 2021 yang dijadualkan pada bulan Jun dan Julai di Afrika Selatan berkemungkinan dijadualkan semula berikutan situasi pandemik COVID-19 yang meruncing khususnya di Britain.
Agensi berita di Eropah melaporkan perkembangan terkini itu berikutan penemuan varian baharu COVID-19 yang dikatakan berasal dari Britain dan mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan telah menular ke beberapa negara.
Agensi berita The Guardian melaporkan, keputusan sama ada Lions Tour 2021 boleh dilaksanakan atau tidak akan diumumkan pada bulan Februari nanti selepas penelitian dan penilaian dibuat oleh pengurusan Lions.
Menurut Pengarah Urusan Lions, Ben Calveley dilaporkan berkata, ketidaktentuan yang berlaku akibat pandemik di Afrika Selatan mahupun di UK dan Ireland, memerlukan satu keputusan yang bijak dan tepat berdasarkan data dan perkembangan semasa.
“Keputusan perlu dibuat bagi memudahkan peminat untuk membuat perancangan awal sama ada perlu ke Afrika Selatan atau pun tidak. Namun pihak lembaga pengarah Lions telah mengadakan beberapa mesyuarat dan perbincangan bagi menilai situasi semasa,” kata Ben.
Namun begitu, Daily Mail pula melaporkan kemungkinan Springboks beraksi di UK sebagai pelan kontigensi dan cadangan awal tersebut diterima oleh kesatuan-kesatuan (England, Ireland, Wales & Scotland) dengan pendapatan hasil perlawanan itu dibahagi bersama Afrika Selatan.
CEO SA Rugby, Jurie Roux dilaporkan menolak idea perlawanan tanpa penonton manakala cadangan untuk menunda acara itu bakal menambah kesulitan khususnya logistik.
You must be logged in to post a comment Login