Dua perlawanan berlangsung semalam menyaksikan pertembungan Maori All Blacks bertemu Moana Pasifika manakala Los Pumas turun menentang Wallabies pada perlawanan terakhir Tri Nations 2020.
Maori All Blacks menampilkan persembahan dan corak permainan pantas mengenepikan cabaran Moana Pasifika dengan mata 28-21 di hadapan penonton di Hamilton.
Manakala sesuatu lebih menarik berlaku di Stadium Bankwest apabila Wallabies dan Los Pumas sekali lagi mencatatkan keputusan seri 16-16 pada perlawanan terakhir Tri Nations 2020.
Pada 21 November ketika pertemuan di Stadium McDonald Jones, Wallabies dan Argentina masing-masing terikat dengan keputusan 15-15.
Keputusan tersebut sekaligus menjadikan All Blacks muncul selaku juara pada edisi tahun 2020. Di tempat kedua Argentina dan Australia berada di kedudukan paling bawah dalam saingan tiga penjuru ini.
Namun, peminat ragbi antarabangsa memperkatakan nasib fullback Wallabies, Reece Hodge yang gagal menyempurnakan gol penalti yang bakal memberikan mata kemenangan buat Australia.
Berlangsung dalam cuaca hujan lebat, kedua-dua pasukan tidak lepas dari melakukan kesilapan dan seterusnya mengagalkan cubaan meraih mata meskipun menghampiri garisan try.
Wallabies kehilangan seorang pemain apabila Lukhan Salakaia-Loto dihadiahkan kad merah oleh pengadil disebabkan tindakannya yang sengaja ingin mencederakan lawan melalui tackle yang tidak sepatutnya dilakukan.
Bagi pasukan Argentina, ketiadaan kapten Los Pumas, Pablo Matera yang digugurkan akibat kenyataannya dalam media sosial yang berbaur rasis dan kebencian kira-kira sembilan tahun lalu turut memberi kesan terhadap persembahan semalam.
Keputusan 16-16 yang dicatatkan menjadikan Argentina berada di tangga kedua di bawah All Blacks, manakala Wallabies di tempat ketiga.
You must be logged in to post a comment Login