National Rugby Development Program (NRDP) atau Program Pembangunan Ragbi Kebangsaan ditubuhkan dengan misi menyediakan pelapis untuk menghadapi kejohanan ragbi utama.
Melalui penubuhannya, kategori umur 13 hingga 20 tahun menjadi fokus kepada pembangunan atlet berprestasi tinggi ke pertandingan kompetitif di dalam mahupun di luar negara.
Sejak penubuhannya pada tahun 2016, seramai 2,500 pelajar telah terlibat dalam program yang dianjurkan NRDP termasuklah klinik ragbi serta pelbagai kejohanan peringkat akar umbi di seluruh tanahair.
Peranan NRDP mendapat perhatian pelbagai pihak apabila berjaya menunjukkan prestasi membanggakan dalam beberapa kejohanan antarabangsa meskipun baru sahaja ditubuhkan.


Pencapaian di Asian Rugby Sevens (U18) di Kunming (2019) menjulang nama Malaysia sebagai kuasa ragbi serantau apabila menafikan kemaraan China dengan mata 14-10 sekaligus muncul juara.
Manakala skuad U19 pula unggul di Liga Divisyen 2 Asia Rugby Championship (ARC) mengatasi UAE seterusnya layak ke Divisyen 1 pada 2020.
Namun pandemik yang melanda dunia menyaksikan skuad negara tidak dapat beraksi sepanjang tahun lepas.
Berbekalkan rekod cemerlang tersebut, Yayasan Sime Darby (YSD) menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada NRDP apabila muncul sebagai penaja utama program pembangunan sejak Ogos 2019.

Melalui kerjasama itu, YSD menaja pasukan elit lelaki U19, lelaki U20 dan wanita U20 meliputi program latihan, pencarian bakat serta pendedahan kepada kejohanan tempatan dan antarabangsa.
Manakala pasukan wanita U20, kejayaan meraih naib johan kategori Cup di Kejohanan Karma Bali 10’s cukup membanggakan malah turut meraih johan Plate di Bangkok 7’s selepas mengenepikan pasukan dari Kazakhstan.
Dengan 22 pusat latihan di seluruh negara, NRDP fokus melahirkan pemain berbakat yang bakal menyarung jersi kebangsaan seterusnya membawa Malaysia sebagai kuasa ragbi Asia.
Dapatkan berita terkini dunia ragbi tanahair bersama Ragbi.MY – Majalah ragbi pertama di Malaysia.
You must be logged in to post a comment Login