Apakah impian untuk menyaksikan penganjuran acara sukan terbesar tahun ini bakal terkubur berikutan pembatalan sukan Olimpik Tokyo?
Selepas berita penangguhan Japan Rugby Top League (JRTL) baru-baru ini dilaporkan, komuniti sukan antarabangsa dikejutkan dengan khabar angin Olimpik Tokyo pula akan dibatalkan.
Agensi berita di seluruh dunia hari ini melaporkan dakwaan bahawa pegawai-pegawai kanan kerajaan Jepun telah menerima hakikat Olimpik Tokyo yang dijadualkan pada bulan Julai nanti dibatalkan berikutan pandemik COVID-19.
Portal The Times, pertama melaporkan bahawa pihak berkuasa di Jepun terpaksa menerima hakikat harapan untuk menganjurkan Olimpik Tokyo tidak akan terlaksana tahun ini.
Berita itu kemudiannya dipetik oleh CNN, AFP serta beberapa agensi berita utama dunia namun kerajaan Jepun dengan pantas membidas kenyataan tersebut yang disifatkan tidak berasas.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga menegaskan bahawa persediaan menghadapi temasya Olimpik berjalan di landasan yang betul dan berazam menjadikan acara itu selamat untuk semua.
Bercakap di Parlimen hari ini, Suga menjelaskan bahawa kerajaannya sedang berusaha keras dengan semua pihak terlibat bagi merealisasikan temasya Olimpik Tokya dan membuktikan bahawa manusia sejagat boleh menghadapi virus corona serta peluang terbaik membuktikan Jepun bangkit daripada kemusnahan gempa bumi dan tsunami.
Berita kemungkinan pembatalan Olimpik Tokyo tersebar apabila 80% rakyat Jepun membantah penganjuran temasya itu dalam satu tinjauan yang dibuat baru-baru ini.
Sekiranya berita pembatalan ini benar-benar berlaku, maka komuniti ragbi sekali lagi terlepas peluang menyaksikan kehebatan pasukan bertanding serta pemain-pemain muda yang menjadi tumpuan ramai.
Artikel berkaitan: TOKYO OLYMPICS: SEVEN PLAYERS TO WATCH
Pada ketika ini Six Nations Women telah disahkan tidak akan dipertandingkan, manakala bagi kategori lelaki masih lagi di peringkat perbincangan.
Sementara itu, Lions Tour yang dijadualkan berlangsung di Afrika Selatan juga masih menjadi tanda tanya selepas gelombang ketiga serta penemuan varian terbaru COVID-19 di negara itu dikesan.
Namun harapan masih lagi ada untuk menyaksikan Piala Dunia Ragbi Wanita 2021 (RWC 2021) yang akan berlangsung di New Zealand September nanti.
Meskipun demikian, segala perancangan adalah tertakluk kepada keadaan semasa dunia pada ketika ini. Segalanya boleh berubah sekelip mata.
Bacaan selanjutnya:
- Japan determined to hold Tokyo Olympics despite cancellation rumors
- Japan’s PM ‘determined’ to hold Olympics despite cancellation report
- Japan dismisses ‘categorically untrue’ stories that Tokyo Olympics are doomed

You must be logged in to post a comment Login