Penganjuran Lions Tour 2021 yang masih belum ditentukan nasibnya kini menerima satu lagi kejutan apabila Rugby Australia dikhabarkan membuat tawaran menjadi tuan rumah bagi acara itu.
Menurut laporan The Guardian, Pengerusi Rugby Australia, Hamish McLennan dilaporkan telah menghubungi Pengerusi South Africa Rugby Union dan Pengerusi England Rugby Football Union (RFU) serta Pengerusi World Rugby, Sir Bill Beaumont untuk membincangkan hal tersebut.
Laporan itu menyebut, varian Covid-19 di Afrika Selatan memburukkan keadaan dan besar kemungkinan Lions Tour 2021 tidak akan berlangsung di sana.
Justeru, Rugby Australia mengemukakan cadangan untuk memindahkan perlawanan tersebut ke negara kangaroo itu berikutan kejayaan penganjuran Tri-Nations pada tahun 2020.
“Keputusan penuh terletak pada tangan mereka,” kata McLennan.
“Berdasarkan pengalaman Tri-Nations pada tahun lepas, membuktikan bahawa Australia mampu menganjurkan kejohanan besar dalam situasi Covid-19 ini,” jelasnya lagi.
Keadaan yang sukar di UK mahupun di Afrika Selatan pastinya memberi kesan kepada penganjuran acara itu yang mempunyai kemasyhuran dan tradisinya tersendiri.
Sekiranya rancangan tersebut menjadi kenyataan, hasil keuntungan akan diberi kepada Lions dan Afrika Selatan manakala Australia hanya memerlukan kos penganjuran sahaja.
Pada ketika ini, tiada sebarang maklumbalas rasmi daripada RFU, SA Rugby mahupun World Rugby.
Untuk rekod, kali terakhir British & Irish Lions Tour berkunjung ke Australia ialah pada bulan Jun dan Julai tahun 2013 menyaksikan Wallabies kecundang (2-1) pada test match yang dianjurkan ketika itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Eddie Jones serta 4 lagi kapten pasukan negara di dalam British & Irish Lions mahukan Lions Tour diteruskan mengikut jadual.
ESPN yang memetik laporan Reuters mendedahkan, gesaan tersebut bagi memastikan segala perancangan England untuk Rugby World Cup (RWC) 2023 tidak terjejas sekiranya Lions Tour ditunda ke tahun 2022.
Namun bagi peminat ragbi antarabangsa harus menunggu keputusan diumumkan selewat-lewatnya hujung Februari nanti sama ada Lions Tour 2021 bakal berlangsung di Afrika Selatan atau Australia atau ditunda ke satu tarikh lain.
Bacaan lanjut: South Africa Will Do Anything to Face The Lions
Ikuti perkembangan ragbi tempatan dan antarabangsa dibawakan khas oleh Ragbi.MY- majalah ragbi pertama di Malaysia.

You must be logged in to post a comment Login