Siri bual bicara Sembang Kopi-O Panas sekali lagi mendapat perhatian umum khususnya komuniti ragbi tanah air apabila topik berkaitan pandemik Covid-19 dibincangkan secara langsung di laman Facebook Ragbi.MY Rabu lalu.
Bertemakan Bicara Covid-19: Antara realiti, mitos dan harapan, program bual bicara ‘LIVE’ ini menampilkan tiga orang tetamu terdiri daripada warga ragbi yang tidak asing lagi di Malaysia.
Dr. Jasmiza Khuzairi dari Institut Sukan Negara (ISN), pemain ragbi skuad Bunga Raya 7’s, Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi atau Puteh serta peminat dan penggiat ragbi Capo Rod telah diundang khas selaku tetamu segmen ini.
Antara yang dibincangkan ialah kesan psikologi kepada pesakit Covid-19 dan ahli keluarga mereka serta bagaimana cara mereka menghadapi situasi berkenaan.
Ketiga-tiga panel telah berkongsi pengalaman masing-masing serta berinteraksi dengan penonton Sembang Kopi-O Panas melalui komen-komen yang diutarakan sepanjang program.
Turut disentuh ialah prestasi atlet yang terkesan akibat Covid-19.
Puteh menceritakan bahawa bagaimana dirinya bergelut untuk mengembalikan kecergasan seperti sedia kala kerana Covid-19 sedikit sebanyak telah mengganggu keadaan fizikalnya.
Begitu juga dengan Rod, pengalaman yang dilaluinya telah dikongsikan agar komuniti ragbi yang terkena jangkitan Covid-19 boleh bertindak sewajarnya dan mengikut saluran yang betul.
Manakala bagi Dr. Jasmiza, masyarakat perlu menyedari bahawa hakikat sebenarnya Covid-19 ini boleh mengancam nyawa serta kerosakan yang dibawa virus tersebut adalah benar dan tidak boleh dipandang ringan.
Ikuti video penuh Sembang Kopi-O Panas: Bicara Covid-19 Antara realiti, mitos dan harapan di channel Youtube Ragbi.MY
Dapatkan naskhah anda sekarang! Pembelian cepat dan mudah hanya di portal Ragbi.MY


You must be logged in to post a comment Login