Connect with us

Hi, what are you looking for?

Suhaimi Sani harumkan nama negara di Amerika Syarikat
Take 5 @ Ragbi.MY menampilkan Kapten (B) Suhaimi Sani berkongsi kisah & pengalaman ragbi beliau bersama US Navy Rugby

NEWS

SUHAIMI SANI LAKAR SEJARAH RAGBI NEGARA

Harumkan pentas ragbi tanah air selaku penerima anugerah US Navy Rugby Hall of Fame

Kapten Suhaimi Sani TLDM (Bersara) mencatat kejayaan tersendiri apabila diumumkan sebagai penerima anugerah US Navy Rugby Hall of Fame dalam satu majlis yang akan diadakan pada September nanti.

Suhaimi yang ditemubual secara eksklusif bersama Ragbi.MY menjelaskan, anugerah itu adalah pengiktirafan daripada United States Naval Academy Rugby kepada pemain yang pernah bermain dalam pasukan tersebut serta menunjukkan pencapaian cemerlang sama ada di dalam mahupun di luar padang seterusnya di dalam karier masing-masing.

“Saya pada mulanya rasa tidak percaya apabila diberitahu tentang perkara ini kerana anugerah sebegini sangat tinggi nilainya dan tidak pernah saya membayangkan pengiktirafan seperti ini,” kata Suhaimi.

Mengimbas penglibatan dalam sukan ragbi, Suhaimi memberitahu Ragbi.MY, segalanya bermula ketika beliau menuntut di Maktab Tentera DiRaja (MTD) pada tahun 1984 hingga 1988.

“Sewaktu di MTD, saya telah mewakili skuad bawah 15 tahun dan seterusnya bawah 18 tahun sehinggalah terpilih menyarung jersi pasukan Wilayah Persekutuan dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) pada tahun 1987 dan 1988,” kata Suhaimi.

Segmen Take 5 @ Ragbi.MY bersama Suhaimi Sani & Nor Khairi Omar (Koordinator OPA Vets Black Scorpions)

Selepas tamat persekolahan, kecemerlangan Suhaimi sekali lagi terserlah apabila beliau merupakan calon yang terpilih melanjutkan pengajian ke Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat (US Naval Academy) di Annapolis, Maryland.

“US Naval Academy adalah sebuah akademi disegani dan setiap kali pengambilan, hanya 15 orang calon (dari luar Amerika Syarikat) diterima masuk ke institusi tersebut,” jelasnya lagi.

Kecintaannya kepada sukan ragbi diteruskan di akademi itu meskipun saiz fizikal Suhaimi sangat berbeza dengan penuntut yang lain.

“Bayangkan saya hanya separas bahu atau dada mereka sahaja, sudah pasti tak dapat menyaingi kekuatan fizikal namun sebagai pemain ragbi tegar, di sebalik kekurangan tersebut tersembunyi kelebihan sebagai scrum half yang licik dan laju,” ujar Suhaimi.

Bermula daripada pasukan bawahan, bakat dan ketrampilan Suhaimi terus digilap oleh jurulatih sehinggakan diberi kepercayaan membarisi skuad utama dan bermain dalam kejohanan-kejohanan di negara itu.

Malah, Suhaimi turut diberi peranan selaku kapten pasukan dan memimpin skuadnya mencapai pelbagai kejayaan dalam kejohanan disertai.

Sekembalinya ke tanah air, Suhami yang berkhidmat dalam TLDM meneruskan aktiviti sukan ragbi dengan mewakili pasukan NAVY ORCA dari tahun 1993 hingga 2001.

Pengalaman dan kepimpinan beliau turut disumbangkan kepada pasukan itu selaku Jurulatih dan Pengerusi Kelab NAVY ORCA dari tahun 2007 hingga 2015.

Tahun 1994 mencipta sejarah buat pasukan ragbi ATM yang menjulang kejuaraan Piala Agong manakala di kejohanan National 7’s, Suhaimi membantu pasukannya merangkul naib johan.

Aksi lincah serta pengalamannya di Amerika Syarikat turut ditagih pasukan kebangsaan apabila Suhaimi terpilih menyarung jersi negara sewaktu menyertai kejohanan Fiji 7’s di Suva pada tahun 1994.

Selain pencapaiannya dalam skuad ATM dan negara, Suhaimi tidak melupakan alma maternya apabila turut menyumbang peranan sebagai pemain, mentor serta penasihat kepada pasukan RMC Black Scorpions dan OPA Black Scorpions Veteran.

Suhaimi bakal menerima anugerah US Navy Rugby Hall of Fame pada 10 September ini dan akan turut diraikan pada perlawanan ragbi di antara pasukan US Navy bertemu US Air Force pada 11 September.

Selaku penerima anugerah Hall of Fame, nama Suhaimi Sani akan terpahat di Stadium Prusmack Rugby Center bersama senarai penerima-penerima sebelum ini.

Ragbi.MY bersama seluruh komuniti ragbi tanah air merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Kapten Suhaimi Sani TLDM (B) di atas pencapaian ini.

Sesungguhnya kejayaan ini menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha dan melakar kecemerlangan sama ada di dalam mahupun di luar negara.

BACAAN LANJUT: THE JEWEL IN THE CROWN – KEPT SUHAIMI BIN SANI TLDM (BERSARA)

DAPATKAN EDISI RAGBI.MY DENGAN PELBAGAI LIPUTAN AKSI RAGBI DI DALAM DAN LUAR NEGARA DIBAWAKAN SECARA EKSKLUSIF UNTUK ANDA
Dapatkan edisi Ragbi.MY dengan pelbagai paparan berita komuniti ragbi di dalam dan di luar negara

Click to comment

You must be logged in to post a comment Login

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

You May Also Like

Advertisement
0