Connect with us

Hi, what are you looking for?

Skuad wanita Perlis yakin sasaran pingat jadi kenyataan

FEATURES

SKUAD WANITA SUKMA PERLIS TETAP SASAR PINGAT

Meskipun persiapan terjejas akibat pandemik, skuad wanita SUKMA Perlis tetap dengan sasaran pingat

Pasukan ragbi wanita SUKMA Perlis tetap optimis melakar kejutan dengan sasaran  membawa pulang pingat dalam temasya yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan.

Pengurus skuad wanita SUKMA Perlis, Erri Ahmad berkata, meskipun temasya itu ditangguhkan, pasukan masih mempunyai harapan dan sasaran yang sama untuk meraih kejayaan dalam acara. 

Namun beliau akui rentak latihan pasukan sedikit terganggu setelah pandemik Covid- 19 melanda negara. 

“Sebelum berlakunya penularan Covid- 19, boleh dikatakan pasukan telah siap siaga untuk menghadapi temasya SUKMA. Semangat dan moral pemain berada pada tahap yang optimum dan bersedia untuk mengharungi cabaran yang bakal dihadapi. 

“Apabila berlaku pandemik ini, ketiadaan sebarang kejohanan yang boleh disertai menyebabkan pihak pengurusan tidak dapat mengukur dan menilai tahap semasa atlet di samping prestasi pasukan secara khusus.

“Sungguhpun begitu, saya berbesar hati kerana panel kejurulatihan berjaya mengawal keadaan,” katanya kepada Ragbi.My.

Katanya, beliau percaya setiap pasukan yang telah bersiap sedia untuk bertanding di SUKMA kelak mempunyai peluang yang sama rata. 

“Masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri. Bagaimanapun, bagi pasukan ragbi wanita, saya merasakan saingan akan berlangsung sengit dan bakal menyaksikan beberapa kejutan. Tambahan pula, setiap negeri yang bertanding mempunyai pemain yang berkaliber.

“Pada saya kekuatan pasukan ini terletak pada semangat berpasukan yang telah diterapkan kepada setiap pemain oleh barisan kejurulatihan. 

“Setiap pemain yang mewakili pasukan ini mempunyai nilai tersendiri yang mampu membantu kejayaan pasukan kelak. Kemahiran individu sentiasa digilap untuk mencorakkan cara permainan berpasukan supaya lebih efektif,” katanya.

 “Untuk membentuk pasukan wanita yang kuat dan berani, ia memerlukan motivasi justeru itu, program motivasi dan bimbingan psikologi dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Perlis dan juga Unit Pengurusan Psikologi, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perlis telah dijalankan dimana ia merupakan sebahagian daripada program untuk menguruskan persediaan mental pasukan. 

“Program latihan yang mapan dan terkini turut digunakan barisan kejurulatihan untuk membantu persediaan fizikal atlet,”katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, pasukan berharap dapat bersaing dengan pasukan-pasukan lain yang sedia ada. 

“Cabaran telah diletakkan kepada para pemain untuk melakukan kejutan pada temasya yang bakal menjelang. 

“Saya yakin para pemain dapat melakukan sesuatu yang memberangsangkan berdasarkan prestasi latihan dan semangat yang jitu pada setiap mereka untuk berjaya mensasarkan pingat pada temasya SUKMA,” kata Erri.

Ikuti berita terkini dunia ragbi tempatan dan antarabangsa dibawakan khas untuk anda oleh Ragbi.MY – majalah ragbi pertama di Malaysia

Get the latest issue featuring Siddiq & Liyana

Click to comment

You must be logged in to post a comment Login

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

You May Also Like

Advertisement
0